30 July 2016

Biskut Sarang Semut

Harap masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin kepada semua. Kali ini saya hendak berkongsi resipi Biskut Sarang Semut, yang diinspirasikan dari Blog Citarasawan. Biskut Sarang Semut adalah merupakan salah satu biskut raya yang saya gemari, jadi pada tahun ini saya merajinkan diri untuk membuatnya sendiri. Tidak sukar untuk membuatnya, hasilnya pun memuaskan, alhamdulillah. Iyalah, kuih raya yang dibuat sendiri biasanya lebih 'umph' daripada yang dibeli. Kuih ini pun hanya dibuat setelah dua minggu berhari raya. Maklumlah, bulan puasa, alasannya tidak larat hendak menghadap oven, maka buat kuih raya selepas raya pun boleh. Raya kan sebulan... 

Mari kita lihat resipinya.

BISKUT SARANG SEMUT
Inspirasi: Citarasawan
Sumber: Cendana Kasih

Bahan-bahan:
150 g tepung gandum
100 g tepung kastard
30 g tepung jagung
1/2 sudu teh serbuk penaik
150 g mentega
50 g gula aising
1 sudu teh esen vanila
Chocolate rice secukupnya - untuk hiasan

Cara-cara:
1. Satukan dan ayak tepung gandum, tepung kastard, tepung jagung, dan serbuk penaik bersama.
2. Pukul mentega, gula, dan esen vanila hingga sebati.
3. Satukan bahan yang diayak ke dalam mangkuk berisi bahan yang dipukul tadi, kemudian uli sehingga menjadi doh.
4. Bulat-bulatkan doh mengikut keselesaan tangan sendiri untuk memarut, kemudian sejukkan doh tadi ke dalam peti ais, sekurang-kurangnya selama satu jam.


5. Setelah disejukkan, doh yang dibulatkan tadi akan mengeras dan sedia untuk diparut.
6. Parutkan doh menggunakan pemarut dan sudukan ke dalam mangkuk kertas mengikut cita rasa masing-masing.
7. Hiaskan dengan chocolate rice atau pun manik berwarna, juga mengikut cita rasa anda.
8. Bakar di dalam oven (yang telah dipanaskan terlebih dahulu) pada suhu 160°C selama 20 hingga 25 minit.


Pada mulanya saya hanya mengisi separuh sahaja daripada mangkuk kertas, kemudian ia kelihatan sedikit pula. Jadi saya isikan doh yang telah diparut ke dalam mangkuk kertas sehingga ia penuh. Ha, barulah puas memakannya :)



Selamat mencuba!