27 May 2017

Kuih Melayu/kuih basah

Assalamualaikum semua.

Apa khabar puasa kalian?
Harap-harap tip-top, inshaAllah.
Maklumlah hari pertama puasa lah katakan, mestilah bersemangat!
Moga-moga semangat puasa kita berkekalan hingga ke hujungnya.

Tapi itulah, kena minta maaf dahulu.
Puasa-puasa inilah datang pula idea nak upload gambar-gambar lama.
Kalau ada yang jenguk blog ni di siang hari puasa, ampun dan maaf dipinta.
Alah, gambar aje pun, rileks lah, kan?
Kalau rasa-rasa tergoda tu, hah, cepat-cepatlah order!

Cadangnya sempena bulan Ramadan kali ini,
kami hendak buka tempahan kuih-muih.
Kot-kot ada yang ada pasang niat untuk belanja orang kampung makan kuih sedap-sedap,
bolehlah menempah dengan kami.
Tempahan mesti dibuat seminggu sebelum, ya?

Okay, berikut adalah gambar-gambar projek lepas:





Kalau diikutkan, banyak lagi kuih-muih yang Mama ada buat.
Biasanya setiap kali kelas kitab Riyadhus Solehin di surau Mama pasti ada buat kuih.
Kadang-kadang ada ambil gambar, kadang tidak diambil pun gambarnya.
Ini pun mana yang ada sahajalah.
Sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit gambaran kepada yang berminat nak order.

Contoh kuih Melayu/kuih basah yang pernah dibuat termasuklah:
kuih lapis
kuih nona manis
pelbagai jenis kuih talam (talam suji, talam keladi)

Sekian dahulu untuk kali ini.
Jika ada yang berminat untuk menempah,
jangan malu dan jangan segan.
Isi sahaja borang tempahan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal.

Selamat berpuasa!



26 May 2017

Brownies dan lain-lain

Setakat ini, ini merupakan tempahan yang paling jauh pernah kami terima, iaitu tempahan dari Sungai Buloh. Sebenarnya yang menempah itu bukanlah orang lain, adik kepada Mama juga, yang saya panggil sebagai Mak Teh. Mak Teh bekerja sebagai jururawat di Hospital Sungai Buloh, katanya ada jamuan di jabatan, kebetulan pula saya baru sahaja mengarang iklan di WhatsApp, itu yang lekas sahaja Mak Teh membuat tempahan.

Harga mungkin berubah dari masa ke masa

Antara tempahan yang dibuat adalah:

50 biji Chocolate Chip Fudge Cupcake
50 biji Peanut Muffin with Raisin
3 unit brownies (kami sediakan dua daripadanya Chocolate Fudge Brownies dan satu lagi Chewy Gooey Brownies)

InshaAllah akan saya kongsikan resipi-resipinya dalam blog ini. Bukan apa, mudah untuk dirujuk kemudian hari. Sekurang-kurangnya, ia menjadi panduan buat kami apabila hendak menyediakan hidangan yang sama kelak. Mama gemar menulis resipi yang ingin dicubanya di atas kertas. Faham-faham sahajalah kalau ditulis di atas kertas, apabila hendak digunakan di masa lain mulalah ia hilang tanpa dikesan. Saya pula bab-bab nak mencari barang ni, alahai, lemah betul, lah. Maka, dengan adanya blog ini dapatlah kami simpan resipi-resipi yang menjadi. Dan sudah semestinya dapat berkongsi gambar juga! 



Apa macam? Menarik, tak? Saya selitkan dua gambar sahaja dulu, nanti dalam entri resipi akan saya selitkan lebih lagi. Kalau ada yang tergoda tu, boleh la klik pada ruangan 'Borang Tempahan', tidak nanti ada yang termimpi-mimpi pula.

Sekian dahulu untuk kali ini, nantikan entri resipinya pula, tau!



12 May 2017

Kuih lapis pandan

Macam biasa, hari Jumaat minggu kedua ada kelas Riyadhus Solehin oleh Ustaz Cahyono di surau.
Kali ni Mama buat kuih lapis pandan.



Comel dan menggoda, bukan?
Resipi kali ini tidak terlalu manis dan sedang elok sahaja manisnya.
Tetapi makan harus berpada,
tidak nanti naik pula bacaan gula!

---

KUIH LAPIS PANDAN

Bahan-bahan:
1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan gula pasir
1 cawan santan pekat
3 cawan air
secubit garam
perisa pandan
pewarna hijau

Cara-cara membuatnya:
  1. Satukan kedua-dua jenis tepung, beserta garam dan gula pasir. Masukkan air dan santan pekat.
  2. Gaulkan semua bahan dan tapiskan. Bahagikan adunan kepada dua bahagian.
  3. Campurkan pewarna hijau dan perisa pandan ke dalam salah satu bahagian, satu lagi bahagian biarkan plain sahaja.
  4. Panaskan kukusan dan sapukan minyak pada acuan lompang.
  5. Masukkan satu sudu kecil adunan putih dan kukuskan selama 3 minit (atau sehingga ia mengeras sedikit)
  6. Masukkan pula satu sudu kecil adunan hijau dan kukuskan lagi selama tiga minit (atau sehingga ia mengeras sedikit)
  7. Masukkan satu sudu kecil adunan putih supaya ia berselang-seli.
  8. Pada lapisan terakhir, keseluruhan adunan dikukus selama sepuluh minit. (Jika perlu, balutkan tudung periuk dengan kitchen towel bagi memastikan air kukusan tidak menitik ke atas permukaan kuih.)
  9. Setelah kuih masak, boleh angkat dan sejukkan.
  10. Siap untuk dihidang.




23 March 2017

Goodies majlis perkahwinan

Apa khabar semuanya? Lama betul tidak bersiaran.

Minggu lepas saya dan Mama disibukkan dengan projek goodies. Tidaklah banyak mana pun, cuma hampir dua ratus bungkus goodies (atau nama lainnya door gift) sahaja. Begnya pula adalah beg kertas bertali yang bermotifkan flora.

Setiap goodies bag diisi dengan sekotak butter cookies yang beratnya lebih kurang 90 gram, dan setiap satu daripadanya mengandungi 15 keping cookies. Jenama yang kami gunakan adalah terdiri daripada White Castle Butter Cookies, Kellie's Castle Butter Cookies, dan Royal British Butter Cookies.

Pada beg kertasnya pula, kami tampalkan stiker 'Terima Kasih'.
       
Contoh butter cookies di dalam pek 90 gram, pelbagai perisa.

Sebenarnya ini adalah projek tak terjangka, kami sekadar membantu dalam pembungkusan semata-mata. Cookiesnya, begnya, dan stikernya, semua dipilih dan dibeli sendiri oleh Cik Ani. Goodies ini, menurut Cik Ani, adalah untuk majlis perkahwinan adiknya yang telah pun selamat dilangsungkan pada hujung minggu yang lalu.

Pada saya, goodies begini agak ringkas kerjanya, dan yang paling penting ia memuaskan. Iyalah, siapa tidak suka butter cookies, kan? Bukannya sekeping dua, tetapi sekotak! Cukup untuk dibuat minum petang, cicah kopi o pekat pula, memang umph!

Ada siapa-siapa mahu tempah goodies yang serba ringkas tetapi memuaskan ini? Bolehlah tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi pada ruangan komen. Atau hantar sahaja e-mail kepada syuhadaadros@gmail.com.

Berkenaan harga, jenis beg, isi goodies/door gift, serta bilangannya kita boleh bincang kemudian.



30 July 2016

Biskut Sarang Semut

Harap masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin kepada semua. Kali ini saya hendak berkongsi resipi Biskut Sarang Semut, yang diinspirasikan dari Blog Citarasawan. Biskut Sarang Semut adalah merupakan salah satu biskut raya yang saya gemari, jadi pada tahun ini saya merajinkan diri untuk membuatnya sendiri. Tidak sukar untuk membuatnya, hasilnya pun memuaskan, alhamdulillah. Iyalah, kuih raya yang dibuat sendiri biasanya lebih 'umph' daripada yang dibeli. Kuih ini pun hanya dibuat setelah dua minggu berhari raya. Maklumlah, bulan puasa, alasannya tidak larat hendak menghadap oven, maka buat kuih raya selepas raya pun boleh. Raya kan sebulan... 

Mari kita lihat resipinya.

BISKUT SARANG SEMUT
Inspirasi: Citarasawan
Sumber: Cendana Kasih

Bahan-bahan:
150 g tepung gandum
100 g tepung kastard
30 g tepung jagung
1/2 sudu teh serbuk penaik
150 g mentega
50 g gula aising
1 sudu teh esen vanila
Chocolate rice secukupnya - untuk hiasan

Cara-cara:
1. Satukan dan ayak tepung gandum, tepung kastard, tepung jagung, dan serbuk penaik bersama.
2. Pukul mentega, gula, dan esen vanila hingga sebati.
3. Satukan bahan yang diayak ke dalam mangkuk berisi bahan yang dipukul tadi, kemudian uli sehingga menjadi doh.
4. Bulat-bulatkan doh mengikut keselesaan tangan sendiri untuk memarut, kemudian sejukkan doh tadi ke dalam peti ais, sekurang-kurangnya selama satu jam.


5. Setelah disejukkan, doh yang dibulatkan tadi akan mengeras dan sedia untuk diparut.
6. Parutkan doh menggunakan pemarut dan sudukan ke dalam mangkuk kertas mengikut cita rasa masing-masing.
7. Hiaskan dengan chocolate rice atau pun manik berwarna, juga mengikut cita rasa anda.
8. Bakar di dalam oven (yang telah dipanaskan terlebih dahulu) pada suhu 160°C selama 20 hingga 25 minit.


Pada mulanya saya hanya mengisi separuh sahaja daripada mangkuk kertas, kemudian ia kelihatan sedikit pula. Jadi saya isikan doh yang telah diparut ke dalam mangkuk kertas sehingga ia penuh. Ha, barulah puas memakannya :)



Selamat mencuba!